PENGENALAN

Siapakah yang ditakrifkan sebagai warga emas ?

Warga emas ditakrifkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Takrifan ini  berpandukan kepada takrifan yang dibuat di "World Assembly On Ageing 1982" di Vienna

 

RUMAH SERI KENANGAN (RSK)       

Rumah Seri Kenangan (RSK) ialah institusi yang menyediakan jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang layak bagi kesejahteraan hidup mereka. Terdapat sebanyak 9 buah Rumah Seri Kenangan.

Objektif

Memberi jagaan dan perlindungan kepada warga emas yang daif demi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup mereka.

Perhidmatan / Kemudahan yang disediakan di Rumah Seri Kenangan

    * Jagaan dan Perlindungan
    * Bimbingan dan Kaunseling
    * Pemulihan Cara Kerja
    * Pemullihan Anggota
    * Kemudahan Beribadat
    * Riadah

Proses Kemasukan

Permohonan kemasukan warga emas ke Rumah Seri Kenangan diproses menggunakan sistem eJKM melalui Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah dengan menggunakan borang yang disediakan dan dihantar kepada Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri untuk semakan, ulasan dan sokongan. Selepas itu borang-borang permohonan tersebut dikemukakan kepada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat untuk pertimbangan kelulusan.

Kelulusan kemasukan ke Rumah Seri Kenangan bergantung kepada kekosongan tempat dan syarat-syarat yang ditetapkan. Permohonan akan dimaklumkan sebaik sahaja ada kekosongan.

Syarat-Syarat Kemasukan :

  • Warga emas yang berusia 60 tahun ke atas
  • Berupaya menjaga diri sendiri
  • Tidak mengidap penyakit berjangkit
  • Tidak mempunyai sanak saudara
  • Tidak mempunyai tempat tinggal tetap
  • Permohonan secara sukarela oleh individu berkenaan
  • Sanggup mematuhi syarat-syarat kemasuukan dan Kaedah-Kaedah Rumah Kebajikan berkaitan

 

Undang-Undang Berkaitan :

  • Kaedah-Kaedah Bagi Pengurusan Rumah Orang-Orang Tua 1983
  • Kaedah-Kaedah (Rumah Kebajikan) Orang-Orang Papa 1981
  • Akta Orang-Orang  Papa 1977

 

Keluaran

Penghuni boleh dikeluarkan sekiranya:

  • Ada orang yang bersedia untuk memberikan jagaan dan perlindungan yang sempurna kepadanya
  • Penghuni berkenaan mempunyai sesuatu mata pencarian untuk sara hidupnya

 

RUMAH EHSAN

Rumah Ehsan ialah institusi yang diwujudkan untuk memberi jagaan dan perlindungan kepada pesakit melarat. Terdapat 2 buah Rumah Ehsan yang memberikan perkhidmatan ini.

 

Objektif

Memberi jagaan, rawatan dan perlindungan kepada orang-orang sakit dan uzur dalam suasana yang selesa dan tenteram.

Kumpulan Sasaran

Pesakit melarat yang memerlukan rawatan tetapi tidak intensif.

 

Perkhidmatan/ Kemudahan yang disediakan oleh Rumah Ehsan :

  • Jagaan dan Perlindungan
  • Rawatan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan
  • Bimbingan dan Kaunseling
  • Perkhidmatan Fisioterapi
  • Bimbingan Agama dan Kemudahan Beribadat
  • Rekreasi

 

Proses Kemasukan

Permohonan kemasukan warga emas ke Rumah Ehsan diproses menggunakan sistem eJKM melalui Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah dengan menggunakan borang yang disediakan dan dihantar kepada Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri untuk semakan, ulasan dan sokongan. Selepas itu borang-borang permohonan tersebut dikemukakan kepada Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat untuk pertimbangan kelulusan.

Kelulusan kemasukan ke Rumah Ehsan bergantung kepada kekosongan tempat dan syarat-syarat yang ditetapkan. Permohonan akan dimaklumkan sebaik sahaja ada kekosongan.


Syarat-Syarat Kemasukan

Kes-kes pesakit melarat yang diterima masuk adalah mereka yang:

  • telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan sebagai pesakit melarat.
  • tidak mengidap penyakit berjangkit.
  • tidak mempunyai keluarga/penjaga tidak dapat dikesan/tidak berupaya menjaga mereka.
  • tidak ada sumber pendapatan atau tidak boleh menyarai diri sendiri.
  • berumur 60 tahun ke atas.

 

Undang-Undang Berkaitan

Kaedah-Kaedah Pengurusan Rumah-Rumah Pesakit Melarat 1978.

 

CUTI

1.   Waris atau keluarga adalah digalakkan mengambil penghuni institusi untuk bercuti bersama mereka.

2.   Penghuni institusi boleh bercuti dengan kebenaran Penguasa.

3.   Penghuni boleh diberikan cuti selama tempoh yang sesuai mengikut budi bicara Penguasa.

4.   Permohonan cuti bagi penghuni boleh dibuat oleh waris atau keluarga sekurang-kurangnya 7 hari sebelum tarikh bercuti.

5.   Kelulusan bercuti adalah dibawah bidang kuasa Penguasa.

6.   Bagi penghuni Rumah Ehsan cuti tahunan boleh diberikan selama tidak lebih daripada 7 hari tertakluk kepada kelulusan Pengetua.

 

LAWATAN

1.   Setiap penghuni institusi dibenarkan menerima lawatan daripada waris, keluarga, sahabat dan lain-lain

2.   Pelawat boleh memohon untuk untuk melawat penghuni institusi dengan mengisi borang permohonan yang disediakan.

3.   Permohonan lawatan secara individu oleh keluarga perlu dikemukakan 7 hari sebelum lawatan.

4.   Permohonan lawatan berkumpulan ( cth. Persatuan, Syarikat, Pertubuhan dan lain-lain) perlu dikemukakan 14 hari sebelum tarikh lawatan.

5.   Pelawat perlu mengistiharkan sumbangan dalam bentuk barang-barang, wang dan lain-lain semasa mengisi borang permohonan lawatan.

6.   Kelulusan lawatan berkumpulan adalah dibawah bidang kuasa Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri

7.   Masa lawatan ialah antara jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

8.   Peraturan semasa lawatan di institusi adalah seperti berikut :

 

SYARAT DAN PERATURAN YANG PERLU DIPATUHI SEPANJANG BERADA DI INSTITUSI

WARGA EMAS JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT

 

  • Memastikan kerahsiaan peribadi penghuni yang berada di institusi warga emas terpelihara.  Semua maklumat latar belakang penghuni tidak boleh didedahkan kepada pihak luar dan perlu dirahsiakan.      
  • Memberi keutamaan kepada kebajikan warga emas dan menghormati hak-hak mereka.
  • Tidak melakukan perbuatan atau mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan warga emas atau yang boleh menimbulkan kesedihan.
  • Sentiasa menghormati warga emas walau apa keadaan dan latar belakang mereka.
  • Tidak melayan atau memperlakukan warga emas dengan kasar.
  • Tidak dibenarkan merakamkan gambar warga emas kecuali dengan kebenaran warga emas berkenaan dan Penguasa.
  • Mendapatkan pengesahan daripada pihak pengurusan Institusi bagi mengesahkan maklumat yang diberi oleh warga emas.
  • Tidak dibenarkan merokok dalam kawasan institusi.
  • Mematuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Penguasa atau Pengetua.