Pengenalan (Pendaftaran TASKA)

PENGENALAN

1. Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308]  digubal bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya demi menentukan kesejahteraan, keselamatan dan perkembangan menyeluruh kanak-kanak diutamakan.

2. Di bawah Seksyen 2, Akta 308 "taman asuhan kanak-kanak" ertinya mana-mana premis yang menerima masuk empat (4) orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat (4) tahun dari lebih daripada satu isi rumah untuk dijaga dengan upah.

3. "taman asuhan kanak-kanak berdaftar" ertinya suatu taman asuhan kanak-kanak yang didaftarkan di bawah seksyen 7.

4. Di bawah Seksyen 6 (1) tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengambil bahagian dalam pengurusan suatu taman asuhan kanak-kanak yang tidak didaftarkan dibawah peruntukan¿peruntukan Akta ini. Di bawah Seksyen 6 (2) Akta 308 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang melanggar subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan.

KATEGORI TASKA

4. Seksyen 5 Akta 308 memperuntukkan 4 kategori TASKA seperti berikut:

i. TASKA Di Rumah

  • Menerima kurang daripada 10 orang kanak-kanak untuk di jaga dalam rumah orang yang di daftarkan di bawah Seksyen 7.

ii. TASKA Di Institusi

  • Menerima 10 orang atau lebih kanak-kanak dalam jagaan

iii. TASKA Di Tempat Kerja

  • Menerima  10 orang kanak-kanak atau lebih dalam  jagaan
  • Ditubuhkan di tempat kerja atau disediakan oleh majikan di suatu tempat yang sesuai untuk kemudahan kakitangan

iv. TASKA Komuniti

  • Menerima  10 orang kanak-kanak atau lebih dalam jagaan
  • Ditubuhkan di suatu kawasan tertentu dan menerima bantuan daripada kerajaan persekutuan atau suatu kerajaan negeri.  

SYARAT-SYARAT PENUBUHAN

5. Syarat-syarat penubuhan TASKA adalah seperti berikut:

i. berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pendaftar Pertubuhan (ROS). TASKA di rumah dikecualikan;

ii. memenuhi standard minimum JKM; dan

iii.mendapat sokongan atau kelulusan daripada agensi teknikal iaitu:

  • Pihak Berkuasa Tempatan (PBT);
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat;
  • Jabatan Kesihatan; dan
  • Jabatan Tanah dan Survei (negeri Sarawak sahaja)

STANDARD MINIMUM JKM

6. Di antara standard minimum yang ditetapkan adalah seperti berikut:

i. nisbah pengasuh dengan kanak-kanak mencukupi;

Umur (Tahun) Kanak-Kanak Normal Kanak-Kanak OKU
Lahir - 1 tahun 1 : 3 2 : 3
1 tahun ke atas - 3 tahun 1 : 5 2 : 5
3 tahun ke atas - 4 tahun 1 : 10 3 : 10


ii. pengasuh merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas;

iii. pengasuh telah hadir dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK);

iv. mematuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu 2.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA di rumah dan TASKA selainnya 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak;

v. menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak;

vi. TASKA mempunyai kemudahan peralatan dan perabot yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak;

vii. menyedia dan menyenggara rekod-rekod di TASKA; dan

viii. menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis TASKA

7. Sebagai langkah mempermudahkan proses pendaftaranTASKA, Sijil Perakuan Pendaftaran akan dikeluarkan oleh JKM kepada pengusaha yang mematuhi standard minimum JKM dan syarat-syarat yang dikenakan di bawah Akta 308.

PROSEDUR PERMOHONAN PENDAFTARAN TASKA

8. Prosedur permohonan pendaftaran TASKA adalah seperti berikut:

i. permohonan perdaftaran dibuat melalui Sistem eJKM Online

ii. permohonan pendaftaran TASKA yang lengkap akan diproses dalam tempoh 14 hari berkerja;

iii. bayaran pendaftaran dikenakan sebanyak (TASKA di Rumah - RM50.00) dan (TASKA Institusi / Komuniti / Tempat Kerja - RM250.00);

iv. Sijil Perakuan Pendaftaran TASKA dikeluarkan oleh Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri berkenaan; dan

v. senarai TASKA berdaftar boleh disemak di laman web www.jkm.gov.my.

KURSUS ASUHAN DAN DIDIKAN AWAL KANAK_KANAK PERMATA (KAP)

9. Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA ertinya suatu kursus yang mengguna pakai Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang diluluskan oleh Jemaah Menteri dan diterima pakai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat :

i. matlamat kursus ini adalah untuk memberi pengetahuan dan kefahaman mengenai amalan pengasuhan kanak-kanak di TASKA secara teori dan praktikal serta undang-undang yang berkaitan dengannya;

ii. seseorang pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh TASKA hendaklah hadir dan lulus KAAK serta terlatih dalam bidang asuhan kanak-kanak atau mempunyai pengalaman yang cukup dalam bidang pengasuhan kanak-kanak;

iii. pengasuh kanak-kanak yang belum mengikuti KAP  diwajibkan hadir dan lulus KAP dalam tempoh satu tahun bekerja;

iv. KAP dikendalikan oleh agensi latihan yang diiktiraf oleh JKM; dan

v. permohonan untuk mengikuti KAP boleh dibuat secara atas talian dengan melayari portal eZi2Care

TINDAKAN UNDANG-UNDANG YANG BOLEH DIAMBIL

10. Mana-mana TASKA yang tidak berdaftar atau TASKA yang berdaftar tetapi tidak mematuhi standard minimum JKM adalah melakukan kesalahan dan boleh dikenakan tindakan seperti berikut:

i. Didakwa di mahkamah dan boleh:

  • didenda tidak melebihi RM 10,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya;
  • Bagi kesalahan kedua dan berikutnya boleh didenda tidak melebihi RM 2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

ii. Pembatalan pendaftaran TASKA

iii. Dikenakan kompaun maksimum RM5,000 bagi setiap kesalahan.

iv. Arahan bertulis Ketua Pengarah

v. Perintah tutup sementara TASKA berdaftar

vi. Lak (seal) TASKA tidak berdaftar

RUJUKAN

  • Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 [Akta 308] 
  • Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Pindaan) 2007 [Akta A1285] 
  • Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012 (P.U. (A) 377)
  • Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Pengkompaunan Kesalahan) 2011

STANDARD MINIMUM JKM

1. Nisbah pengasuh dengan kanak-kanak hendaklah mencukupi seperti Jadual berikut;

                       
Umur (Tahun) KKanak-Kanak Normal Kanak-Kanak OKU
Lahir - 1 tahun 1:3 2:3
1 tahun ke atas - 3 tahun 1:5 2:5
3 tahun ke atas - 4 tahun 1:10 3:10

2. Pengasuh merupakan warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas;

3. Sekurang-kurangnya salah seorang Pengusaha, Pengurus, Penyelia atau Pengasuh kanak-kanak di TASKA hendaklah mempunyai sijil hadir dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) atau Kursus Asuhan PERMATA yang diiktiraf oleh JKM (*);

4. Mematuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai iaitu 2.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA Rumah atau 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA Institusi; Tempat Kerja dan Komuniti;

5. Menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak;

6.TASKA mempunyai kemudahan peralatan dan perabot yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak;

7. Menyedia dan menyenggara rekod-rekod di TASKA;

8. Menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis TASKA;

9. Bayaran fi pendaftaran dikenakan sebanyak RM50.00 bagi TASKA Di Rumah dan RM250.00 bagi TASKA Institusi; Tempat Kerja dan Komuniti untuk tempoh sah selama 5 tahun; dan

10. Apa-apa syarat lain yang difikirkan patut dan sesuai oleh Ketua Pengarah atau Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri.

(*) Semua Pengusaha, Pengurus, penyelia dan Pengasuh di TASKA wajib hadir dan lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak atau Kursus Asuhan PERMATA selewat-lewatnya dalam tempoh 1 tahun bekerja di TASKA.

TAFSIRAN

"asuhan" ertinya :

(a) menjaga, menyelia dan mendidik kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak;

(b) menyedikan pengaturan yang cukup dan sesuai bagi pemberian makanan, pemakanan, rehat dan hiburan bagi kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak; dan

(c) memastikan bahawa kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak di taman asuhan kanak-kanak adalah memuaskan;

"Jabatan Kesihatan: ertinya :

(a) Jabatan Kesihatan atau Pejabat Kesihatan Daerah di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia; atau

(b) jabatan kesihatan di abwah pihak berkuasa tempatan;

"Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak" ertinya Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak yang diiktiraf oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat;

"Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA" ertinya suatu kursus yang mengguna pakai Kurikulum Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan yang diluluskan oleh Jemaah Menteri dan diterima pakai oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat;

"pegawai perubatan" ertinya seorang pengamal perubatan berdaftar yang diambil bekerja oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri;

"pekerja" ertinya mana-mana orang yang diambil bekerja atau dilantik oleh pengusaha di bawah subperaturan 21(1) termasuklah seseorang yang diambil bekerja atau dilantik untuk menyediakan makanan bagi taman asuhan kanak-kanak selain pengurus, penyelia, pengasuh kanak-kanak dan pengasuh kanak-kanak berdaftar;

"Pelindung" mempunyai erti yang diberikan kepadanya dalam Akta Kanak-Kanak 2011 [Akta 611];

SENARAI SEMAK PERMOHONAN PENDAFTARAN TASKA

PERKARA /
1. Melengkapkan borang permohonan Pendaftaran TASKA
2. Melampirkan Sijil Pendaftaran Perniagaan (SSM) / Pertubuhan (ROS) (kecuali TASKA di rumah)
3. Menyediakan pelan ruang lantai dan pengiraan keluasan ruang dengan kanak-kanak (dalam meter persegi)
4. Melampirkan Jadual Aktiviti Harian kanak-kanak mengikut peringkat umur
4.1        ¿ Lahir hingga 1 tahun
4.2        ¿ 1 tahun ke atas hingga 3 tahun
4.3        ¿ 3 tahun ke atas hingga 4 tahun
5. Melampirkan Jadual Menu Harian Kanak-Kanak mengikut peringkat umur
5.1        ¿ Lahir hingga 1 tahun
5.2        ¿ 1 tahun ke atas hingga 3 tahun
5.3        ¿ 3 tahun ke atas hingga 4 tahun
6. Melampirkan Jadual Aktiviti Penglibatan Ibu Bapa
7. Menyediakan senarai nama kehadiran kanak-kanak
8. Menyediakan senarai nama pengasuh kanak-kanak
9. Pelan Lokasi TASKA
10. Dokumen sokongan lain seperti :
10.1        ¿ Salinan Sijil KAAK / Kursus Asuhan PERMATA
10.2        ¿ Resit bayaran penuh untuk menghadiri Kursus Asuhan PERMATA
10.3        ¿ Salinan kad suntikan Typhim
11. Fi pendaftaran ( 5 tahun ) - RM250.00 (TASKA di Rumah - RM50.00)
12. Mengemukakan surat kelulusan daripada agensi teknikal (Jika Ada) :
12.1        ¿ Pihak Berkuasa Tempatan
12.2        ¿ Jabatan Bomba dan Penyelamat
12.3        ¿ Jabatan Kesihatan PBT / Daerah / Bahagian
12.4        ¿ Jabatan Tanah dan Survei (bagi Negeri Sarawak sahaja)

Muat Turun

Standard Minimum TASKA dan Senarai Semak Pendaftaran TASKA :